Pembaharuan Semakan Pendaftaran
Khairat Kematian

Terma dan Syarat

Garis panduan Khairat Kematian Surau As-Siddiqin Bandar Tasik Puteri. Ketetapan dan syarat penyertaan sebagai ahli.

Kemaskini terakhir · Januari 2026
PERKARA 1

Penyertaan

Penyertaan sebagai ahli Khairat Kematian boleh dibuat pada bila-bila masa tanpa had tempoh penyertaan. Walau bagaimanapun, setiap penyertaan hendaklah dibuat dengan niat yang jujur (in good faith), tanpa sebarang niat untuk menyeleweng atau mengambil kesempatan terhadap kelonggaran tempoh penyertaan tersebut.

PERKARA 2

Kadar Yuran dan Sumbangan

Kadar yuran dan sumbangan Khairat Kematian adalah seperti berikut:

Bil.PerkaraKadar
1 Yuran pemprosesan bagi penyertaan ahli baharu sahaja RM60.00
2 Sumbangan khairat tahunan yang perlu diperbaharui setiap tahun RM60.00
PERKARA 3

Tempoh Bertenang (Cooling Period)

Tempoh bertenang bagi ahli baharu atau penambahan penama bermula dari tarikh penerimaan borang penyertaan atau penambahan penama berserta bayaran yang ditetapkan, dan berakhir pada 31 Disember tahun yang sama.

Bagi penyertaan atau penambahan penama yang dibuat pada bulan Disember, tempoh bertenang berakhir pada 31 Januari tahun berikutnya.

Sekiranya berlaku kematian dalam tempoh bertenang, peserta atau waris hanya layak menerima manfaat bagi Perbelanjaan Pengurusan Jenazah seperti yang ditetapkan dalam Jadual 1 dan tidak layak menerima Baki Manfaat Belum Guna.

Peserta baharu atau penambahan penama hanya diiktiraf sebagai ahli Khairat Kematian selepas tamat tempoh bertenang. Tempoh keahlian berakhir pada 31 Disember setiap tahun.

PERKARA 4

Pembaharuan Keahlian

4.1

Peringatan Pembaharuan

Peringatan pembaharuan keahlian secara umum akan diberikan satu (1) bulan sebelum tarikh tamat keahlian. Sumbangan pembaharuan keahlian boleh dijelaskan dalam tempoh tersebut.

4.2

Tempoh Pembaharuan Dilanjutkan

Sekiranya sumbangan pembaharuan masih belum dijelaskan sebelum atau pada tarikh tamat keahlian, peserta masih boleh membuat pembayaran dalam Tempoh Pembaharuan Dilanjutkan selama satu (1) bulan selepas tarikh tamat keahlian.

Dalam tempoh tersebut, yang turut dianggap sebagai tempoh bertenang apabila keahlian telah tamat, sekiranya berlaku kematian, peserta atau waris hanya layak menerima manfaat bagi Perbelanjaan Pengurusan Jenazah seperti yang ditetapkan dalam Jadual 1 dan tidak layak menerima Baki Manfaat Belum Guna.

4.3

Keahlian Tidak Diperbaharui

Sekiranya keahlian masih tidak diperbaharui selepas tempoh satu (1) bulan daripada tarikh tamat keahlian, iaitu selepas 31 Januari, keahlian dianggap terbatal. Sekiranya individu berkenaan ingin meneruskan keahlian, permohonan baharu sebagai ahli Khairat Kematian hendaklah dibuat.

PERKARA 5

Penama dan Kelayakan

Penama yang layak di bawah keahlian Khairat Kematian Surau As-Siddiqin Bandar Tasik Puteri adalah seperti berikut:

  1. Pemohon — Pemohon secara automatik merupakan penama bagi keahlian tersebut.
  2. Suami atau isteri — Suami atau isteri pemohon yang tinggal bersama dalam rumah yang dinyatakan dalam borang permohonan.
  3. Anak-anak — Anak-anak pemohon yang belum berkahwin, termasuk anak angkat yang sah dan anak tiri, yang tinggal bersama dalam rumah yang dinyatakan dalam borang permohonan.
  4. Ibu bapa dan ibu bapa mentua — Ibu bapa pemohon atau ibu bapa mentua yang tinggal bersama dalam rumah yang dinyatakan dalam borang permohonan.
5.1

Perubahan Kelayakan Penama

Sekiranya pada masa kematian didapati bahawa anak atau suami atau isteri tidak lagi memenuhi syarat kelayakan kerana tidak tinggal bersama atau telah berkahwin, pihak Lajnah Khairat Kematian hendaklah dimaklumkan supaya pengurusan jenazah dapat dilaksanakan sebagai bukan ahli.

5.2

Individu yang Tidak Layak sebagai Penama

Individu lain selain kategori yang dinyatakan di atas tidak layak menjadi penama di bawah keahlian tersebut, walaupun tinggal serumah dengan pemohon. Individu berkenaan hendaklah membuat permohonan keahlian secara berasingan.

5.3

Penambahan Penama

Penambahan penama boleh dibuat pada bila-bila masa selepas pendaftaran keahlian. Walau bagaimanapun, penambahan tersebut tertakluk kepada tempoh bertenang seperti yang dinyatakan dalam Perkara 3.

PERKARA 6

Manfaat Kematian

6.1

Manfaat Asas Kematian

Manfaat asas kematian sebanyak RM2,000 bagi setiap kematian diberikan kepada penama yang meninggal dunia semasa keahlian masih aktif.

6.2

Pengurusan Jenazah oleh Lajnah Khairat Kematian

Dengan kebenaran waris, pengurusan jenazah ahli atau penama yang meninggal dunia di rumah yang didaftarkan atau di hospital atau pusat perubatan berhampiran boleh diuruskan oleh Lajnah Khairat Kematian Surau As-Siddiqin (LKKSAS).

6.3

Kematian Berganda dalam Tempoh Tiga Bulan

Sekiranya berlaku lebih daripada satu kematian dalam keahlian yang sama, dengan jarak antara satu kematian dengan kematian berikutnya dalam tempoh tiga (3) bulan, ketetapan berikut terpakai:

  1. Kematian pertama layak menerima manfaat asas sebanyak RM2,000. Baki Manfaat Belum Guna akan diserahkan kepada ahli atau waris.
  2. Bagi kematian kedua dan seterusnya yang berlaku dalam Tempoh Bertenang Kematian Berganda (TMBK), ahli atau waris hanya layak menerima manfaat bagi kos pengurusan jenazah, tertakluk kepada had maksimum RM1,300 bagi setiap kematian.
  3. Jumlah keseluruhan manfaat bagi keadaan ini tertakluk kepada had maksimum RM4,000 atau jumlah yang lebih rendah.
6.4

Kematian Berganda atau Kematian Serentak

Sekiranya berlaku kematian berganda atau lebih daripada satu kematian secara serentak, manfaat bagi kos pengurusan jenazah diberikan bagi setiap jenazah, tertakluk kepada had keseluruhan RM5,000.

Baki Manfaat Belum Guna turut diberikan sekiranya jumlah kos pengurusan jenazah adalah kurang daripada RM2,000.

6.5

Gabungan Kes Kematian Berganda dan Kematian Serentak

Sekiranya gabungan keadaan seperti yang dinyatakan dalam Perkara 6.3 dan Perkara 6.4 berlaku dalam tempoh tiga (3) bulan daripada kematian pertama, had keseluruhan manfaat ialah RM5,000. Had ini termasuk Baki Manfaat Belum Guna yang telah diserahkan selepas mana-mana kematian.

6.6

Pengurusan Tahlil

Pihak Surau As-Siddiqin akan mengadakan tahlil selama tiga (3) malam berturut-turut sekiranya waris tidak mengadakan tahlil di rumah.

6.7

Baki Manfaat Belum Guna

Baki Manfaat Belum Guna ialah baki wang selepas ditolak perbelanjaan pengurusan jenazah yang telah ditetapkan.

Perbelanjaan pengurusan jenazah adalah berdasarkan kos yang ditetapkan oleh LKKSAS pada masa kematian berlaku.

6.8

Maklumat Koordinator dan Rekod Keahlian

Ahli akan diberikan nombor telefon koordinator dan hendaklah memaklumkan nombor tersebut kepada ahli keluarga masing-masing.

Penyata atau resit akan diberikan kepada ahli secara dalam talian atau dalam bentuk bercetak selepas proses berkaitan selesai dan maklumat keahlian dikemas kini.

PERKARA 7

Tuntutan Manfaat Kematian

7.1

Pengurusan Jenazah oleh LKKSAS

Sekiranya pengurusan jenazah dilaksanakan oleh LKKSAS, segala urusan perbelanjaan akan dikendalikan oleh Pengurus Jenazah.

Sekiranya perbelanjaan melebihi had yang ditetapkan, ahli atau waris hendaklah membayar lebihan perbelanjaan tersebut kepada LKKSAS. Sebarang Baki Manfaat Belum Guna akan diserahkan kepada ahli atau waris.

7.2

Pengurusan Jenazah oleh Pihak Ketiga

Sekiranya pengurusan jenazah dilaksanakan oleh pihak ketiga, ahli atau waris boleh membuat tuntutan manfaat kematian yang ditetapkan dengan mengisi borang tuntutan dan melampirkan resit perbelanjaan pengurusan jenazah serta dokumen kematian yang berkaitan.

Borang tuntutan yang lengkap hendaklah diserahkan kepada LKKSAS untuk diproses.

Bayaran tuntutan akan diproses dalam tempoh tiga (3) hingga lima (5) hari bekerja.

7.3

Kelulusan Tuntutan

Kelulusan tuntutan adalah tertakluk kepada had maksimum manfaat yang layak diterima.

PERKARA 8

Tanggungjawab dan Pelaksanaan Khairat Kematian

8.1

Penggunaan Sumbangan Ahli

LKKSAS menggunakan sumbangan ahli bagi tujuan pengurusan jenazah seperti yang dinyatakan dalam terma dan syarat ini.

8.2

Penggunaan bagi Keperluan Berkaitan

Dalam keadaan tertentu, wang sumbangan juga boleh digunakan bagi tujuan lain yang berkaitan, termasuk pembelian dan penyelenggaraan kenderaan jenazah, pengurusan bilik jenazah, peralatan pengurusan jenazah, salinan dokumen, jamuan mesyuarat, jamuan tahlil dan keperluan lain yang diputuskan oleh LKKSAS.

8.3

Kekurangan Sumbangan

Berdasarkan prinsip saling membantu dalam pelaksanaan fardu kifayah, sekiranya jumlah sumbangan tidak mencukupi, sumbangan tambahan daripada ahli, keluarga atau waris diperlukan bagi melengkapkan pengurusan jenazah.

8.4

Tanggungjawab Pengurusan Jenazah

LKKSAS bertindak sebagai penyelaras sahaja. Setiap ahli kariah bertanggungjawab memastikan pengurusan jenazah dilaksanakan dengan sewajarnya.

PERKARA 9

Pelaksanaan dan Pindaan Terma

Semua terma dan syarat ini tertakluk kepada sebarang perubahan dan budi bicara pihak pengurusan Surau As-Siddiqin Bandar Tasik Puteri.

Lampiran A

Info Sumbangan Khairat

Kadar bayaran dan contoh pengiraan tempoh bertenang.

Kadar Bayaran

  • Yuran Pemprosesan: RM60.00 — untuk penyertaan ahli baharu sahaja.
  • Sumbangan Khairat: RM60.00 — diperbaharui setiap tahun.
Contoh 1 — Penyertaan Baharu pada Jun

Tarikh penyertaan: 1 Jun 2025

  • 1 Jun 2025 — Penyertaan baharu. Bayaran: RM60 yuran pemprosesan + RM60 sumbangan khairat tahunan.
  • Jun 2025 — Tempoh bertenang. Tidak layak menuntut Baki Manfaat Belum Guna.
  • 1 Julai 2025 — Keahlian diiktiraf. Tempoh bertenang berakhir dan keahlian diiktiraf.
  • 1 Disember 2025 — Peringatan pembaharuan. Peringatan pembaharuan khairat.
  • 31 Disember 2025 — Keahlian tamat tempoh. Pembaharuan tahunan diperlukan.
  • Januari 2026 — Tempoh pembaharuan dilanjutkan. Jika berlaku kematian dalam tempoh ini, manfaat hanya tertakluk kepada Perbelanjaan Pengurusan Jenazah dalam Jadual 1. Baki Manfaat Belum Guna tidak boleh dituntut.
  • 31 Januari 2026 — Tarikh akhir pembaharuan.
  • Mulai 1 Februari 2026 — Pembayaran pembaharuan tidak lagi diterima. Jika ingin meneruskan keahlian, individu perlu membuat penyertaan baharu dengan bayaran RM60 yuran pemprosesan + RM60 sumbangan khairat tahunan.
Contoh 2 — Penyertaan Baharu pada Disember

Tarikh penyertaan: 15 Disember 2025

  • 15 Disember 2025 — Penyertaan baharu. Bayaran: RM60 yuran pemprosesan + RM60 sumbangan khairat tahunan.
  • 15 Disember 2025 hingga 31 Januari 2026 — Tempoh bertenang. Tidak layak menuntut Baki Manfaat Belum Guna.
  • 1 Februari 2026 — Keahlian diiktiraf. Tempoh bertenang berakhir dan keahlian diiktiraf.
  • 1 Disember 2026 — Peringatan pembaharuan. Peringatan pembaharuan khairat.
  • 31 Disember 2026 — Keahlian tamat tempoh. Pembaharuan tahunan diperlukan.
  • Januari 2027 — Tempoh pembaharuan dilanjutkan. Jika berlaku kematian dalam tempoh ini, manfaat hanya tertakluk kepada Perbelanjaan Pengurusan Jenazah dalam Jadual 1. Baki Manfaat Belum Guna tidak boleh dituntut.
  • 31 Januari 2027 — Tarikh akhir pembaharuan.
  • Mulai 1 Februari 2027 — Pembayaran pembaharuan tidak lagi diterima. Jika ingin meneruskan keahlian, individu perlu membuat penyertaan baharu dengan bayaran RM60 yuran pemprosesan + RM60 sumbangan khairat tahunan.
Lampiran B

Jadual Manfaat Kematian

Manfaat asas, kelayakan penama, dan contoh pengiraan manfaat berbilang.

Manfaat Kematian Asas

RM2,000
Manfaat asas bagi setiap kematian yang layak.

  • Kematian Peserta — Peserta yang berdaftar.
  • Kematian Pasangan Peserta — Suami atau isteri.
  • Kematian Anak — Anak yang belum berkahwin, termasuk anak tiri dan anak angkat yang tinggal bersama sahaja.
  • Kematian Ibu Bapa atau Ibu Bapa Mentua — Yang tinggal bersama sahaja.

Pihak Surau As-Siddiqin akan mengadakan Majlis Tahlil selama tiga (3) malam berturut-turut.

Manfaat Kematian Berbilang

Manfaat kematian berbilang melibatkan situasi kematian beberapa orang yang berdaftar di bawah satu keahlian Khairat Kematian Surau As-Siddiqin (KKSAS), sama ada dalam Tempoh Masa Bertenang Kematian (TMBK) atau kematian yang berlaku serentak.

Berikut ialah contoh pengiraan manfaat dan kos pengurusan jenazah bagi setiap situasi.

Contoh 1 — Kematian Berbilang dalam TMBK dan Kematian Serentak

A. Kematian Berbilang dalam TMBK

  • Kematian pertama — Kos: RM1,050 · Manfaat: RM2,000 · Baki: RM950 dipulangkan.
  • Kematian kedua — Kos: RM1,300 · Manfaat: RM1,100 · Lebihan ditanggung: RM200.
  • Kematian ketiga — Kos: RM1,000 · Manfaat: RM900 · Lebihan ditanggung: RM100.

Jumlah manfaat khairat: RM4,000. Had keseluruhan manfaat bagi kematian berbilang dalam TMBK ialah RM4,000.

B. Kematian Serentak Lima Orang Ahli Keluarga Berdaftar

  • Bilangan jenazah: 5 orang
  • Kos pengurusan jenazah: RM1,100 × 5 = RM6,000
  • Manfaat ditanggung KKSAS: RM5,500
  • Baki kos ditanggung keluarga: RM500

Had keseluruhan manfaat bagi kematian serentak ialah RM5,000.

Contoh 2 — Kematian Berbilang dalam TMBK dan Kematian Serentak

A. Kematian Berbilang dalam TMBK

  • Kematian pertama — Kos: RM1,050 · Manfaat: RM2,000 · Baki: RM950 dipulangkan.
  • Kematian kedua — Kos: RM900 · Manfaat: RM900 · Tiada lebihan kos.

Jumlah manfaat khairat: RM2,900.

B. Kematian Serentak Dua Orang Ahli Keluarga Berdaftar

  • Bilangan jenazah: 2 orang
  • Kos pengurusan jenazah: RM1,100 × 2 = RM2,400
  • Manfaat ditanggung KKSAS: RM2,200
  • Tiada sumbangan tambahan daripada keluarga

Jumlah manfaat khairat: RM2,200.

Contoh 3 — Gabungan Kematian Serentak dan Kematian dalam TMBK

A. Kematian Serentak Diikuti Kematian Seterusnya

  • Kematian serentak dua orang — Kos: RM1,200 × 2 = RM2,400 · Manfaat: RM2,400.
  • Kematian ketiga — Kos: RM1,050 · Manfaat: RM1,050.
  • Kematian keempat — Kos: RM1,050 · Manfaat: RM1,050.

Jumlah keseluruhan manfaat khairat: RM4,500.

B. Kematian dalam TMBK Diikuti Kematian Serentak Tiga Orang

  • Kematian pertama — Kos: RM1,050 · Manfaat: RM2,000 · Baki: RM950 dipulangkan.
  • Kematian kedua — Kos: RM900 · Manfaat: RM900.
  • Kematian serentak tiga orang — Kos: RM1,100 × 3 = RM3,300 · Manfaat ditanggung KKSAS: RM2,100 · Baki kos ditanggung keluarga: RM1,200.

Jumlah keseluruhan manfaat khairat: RM5,000. Had keseluruhan manfaat bagi gabungan situasi ini ialah RM5,000.

Lampiran C

Jadual Kos Pengurusan Jenazah

Kadar perbelanjaan pengurusan jenazah mengikut kawasan.

Jadual 1 — Dalam Kawasan Bandar Tasik Puteri

Bil.PerkaraJumlah
1Pemandu Van JenazahRM200.00
2Pembantu Pemandu Van JenazahRM100.00
3Mandi JenazahRM300.00
4Peralatan Mandi dan KafanRM200.00
5Pengurusan Bilik Jenazah / SiakRM50.00
6Imam Bertugas / TalkinRM100.00
7Pengurusan KuburRM450.00
8Perbelanjaan penggunaan Van Jenazah dan pelbagaiRM50.00

Nota: Tambahan RM100.00 bagi pengurusan kubur jika pengebumian dilakukan pada waktu malam.

Jadual 2 — Di Luar Bandar Tasik Puteri (Sekitar Lembah Klang)

Bil.PerkaraJumlah
1Pemandu Van JenazahRM200.00
2Pembantu Pemandu Van JenazahRM100.00
3Perbelanjaan penggunaan Van Jenazah dan pelbagaiRM100.00
4Kadar tol tertakluk kepada destinasi yang ditetapkan, minyak, letak kenderaan dan sebagainyaKadar sebenar
5Termasuk perkara dalam Jadual 1 jika berkaitan, kecuali perkara 1, 2 dan 8Seperti Jadual 1

Jadual 3 — Di Luar Kawasan Lembah Klang

Bil.PerkaraJumlah
1Pemandu Van JenazahRM200.00
2Pembantu Pemandu Van JenazahRM100.00
3Perbelanjaan penggunaan Van Jenazah untuk penghantaran jenazah mengikut jarak ke destinasi yang diminta oleh waris. Jarak dikira bagi satu perjalanan pergi dan balik. Jika terdapat permintaan menggunakan jalan air atau udara, waris perlu merujuk kepada LKKSAS untuk keterangan lanjut.RM1.50/km
4Kadar tol tertakluk kepada destinasi yang ditetapkan, minyak, letak kenderaan dan sebagainyaKadar sebenar
5Termasuk perkara dalam Jadual 1 jika berkaitan, kecuali perkara 1, 2 dan 8Seperti Jadual 1
Kembali Info Khairat →