Alhamdulillah bersyukur atas keizinanNya, pihak pengurusan Surau As-Siddiqin bersama jamaah telah bergotong royong menebang beberapa pokok serta membersih kawasan sekitar sebagai satu langkah mempersiapkan apa yang perlu sebelum diambil alih oleh pihak yang akan diperkenankan untuk meneruskan kerja-kerja pembesaran dan menaik taraf infrastruktur surau untuk fasa 1, inshaAllah.
Pada 11hb Disember 2021 bermula jam 8.30 pagi, bermulalah kerja-kerja menebang beberapa pokok yang telah sekian lama berada dalam kawasan surau oleh jamaah muslimin. Walaupun tidak diwawarkan secara meluas demi untuk mengawal jumlah jamaah yang hadir untuk menjaga ketetapan SOP yang perlu diawasi. Kehadiran cukup membanggakan setelah sekian lama Surau As-Siddiqin tidak kedengaran hiruk pikuk bunyi mesin potong pokok, suara jamaah bersama dengan tugas masing-masing. Jelas ada yang tersenyum walaupun berkeringat membasahi baju masing-masing, celananya penuh dangan habuk-habuk kayu yang hinggap bagai hiasan abstrak.
Adakalanya ada yang tersenyum bila memerhatikan jamaah yang membawa parang panjang mahupun pendek terselit di pinggang bagaikan pendekar melayu bersedia menongkah musuh yang meluru demi mempertahankan diri. Kehebatan jamaah Surau As-Siddiqin terserlah tanpa silu. Tidak lupa juga muslimat yang hadir, bagaikan srikandi berdiri di belakang pahlawan melayu bersama menyumbangkan keringat dan tenaga menjalankan tugas masing-masing. Ada yang bergelak ketawa sambil tangan tak lekang berayun menyental apa-apa yang perlu. Ada juga yang menghantar makanan walaupun tidak dapat hadir bersama menyerikan suasana, meriah. Begitulah hakikatnya setelah sekian lama tidak beraktiviti di Surau As-Siddiqin dengan taulan jamaah. Syabas dan jutaan terima kasih tidak terhingga untuk semua yang terlibat.
Sedikit makluman berkenaan status pembangunan di peringkat MPS, setakat ini kita telah mendapat pengecualian proses permohonan kerja tanah dan telah diteruskan untuk permohonan kebenaran membina. InshaAllah semoga segala urusan dokumentasi dipermudahkan supaya projek ini dapat dimulakan tanpa sebarang penangguhan lagi. Sama-sama kita doakan. Amin.
#wakafdaninfaq #bandartasikputeri #surauassiddiqin #madrasahassiddiqin #malaysiasejahtera
waqaf dan infaq – https://surauassiddiqinbtp.info/pembangunan



