Surau As-Siddiqin

Tok Siak dan Rakan-rakan, Sentiasa bersama.

17/2/2022 | SASBTP – Di setiap surau atau masjid pasti ada yang menjaga kebersihannya. Demi untuk menerima kunjungan jamaah setiap hari apatah lagi esoknya adalah hari jumaat, penghulu segala hari. Surau-surau yang berkebenaran menjalankan solat jumaat atau masjid-masjid pasti bersedia untuk menerima jamaah yang paling tinggi bilangannya pada setiap minggu.

Di Surau As-Siddiqin BTP tidak berkecuali, kebiasaannya pagi setiap hari khamis pasti ada sedikit keriuhannya, keceriaan ketika persediaan untuk solat jumaat esoknya. Ketika ini, “tok siak” bersama rakan-rakan membuat persediaan awal seperti “Mopping” lantai ruang limpah, membersihkan kawasan sekeliling, memperbaiki apa yang perlu dan pelbagai lagi. Semuanya secara ikhlas berkhidmat mengharapkan keredhaan Allah SWT sebagai bekalan pengakhiran kehidupan.

Antara yang sentiasa membantu “tok siak” surau iaitu Hj. Roslan Mohamad adalah, Hj Zainal yang sentiasa membantu membaiki apa yang perlu peralatan surau, Hj Dollah sentiasa suka dengan tanam-tanaman menghijaukan kawasan surau, Hj Isa (Mantan tukang masak untuk surau) dan En. Azmi (Pesara TV3) sentiasa ada membantu “tok siak”. Keadaan ini menjadi lebih ceria, kecoh pada pagi Jumaat kerana ada masanya pembantu “tok siak” makin bertambah. Salah seorangnya adalah Cina muallaf dari Bt. Arang, En. Hakim yang sentiasa ringan tangan datang membantu dan juga sering menjadi “bahan” gurauan oleh “tok siak” menambah lagi kegamatan dan keceriaan.

Aktiviti mingguan ini diakhiri setiap pagi jumaat ini dengan sedikit jamuan, tok siak akan menyediakan Teh “O” panas disertakan dengan sedikit makanan sambil bersembang bersama. Adakalanya ada juga “imam tua” sekali-sekala bersama menambah perisa sembangan bersama warga emas yang sentiasa ceria.

Pada suatu masa nanti, sesuatu yang teguh pasti bengkok, yang baik pasti lusuh, tanaman hijau pasti layu tunduk ke bumi. Begitu juga dengan golongan ini, nama-nama ini pasti di sebut tapi jisimnya entah di mana hilang dari pandangan mata, begitu juga dengan kita. Patah tumbuh hilang berganti, bila dah berumur pasti ada baru berputik mekar. Semoga tok siak dan rakan-rakan dalam keadaan sihat sentiasa hendaknya, InshaAllah.

Amin 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top